FEBRUARI 2023

Pusat Kanser Sarawak Sedang Dalam Rundingan Dengan Kerajaan Persekutuan


KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Pusat Kanser di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, Pusat Kanser itu dicadangkan Kerajaan Sarawak dan ketika ini  masih di peringkat rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam cadangan itu Kerajaan Sarawak akan membina bangunan fizikal pusat terbabit.

"Manakala, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan doktor-doktor dan khidmat sokongan termasuk peralatan dan sebagainya,"katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Saringan Kanser 2023 Bagi Peringkat Kawasan Parlimen Petra Jaya, di Klinik Kesihatan Petra Jaya, di sini.

Fadillah bagaimanapun, tiada butiran kos pembinaan pusat  dan menyerahkan kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berunding mengenainya.

Sementara itu, mengenai sekatan terbaharu dikenakan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit negara ini, Fadillah berkata  perkara itu akan dibawa ke peringkat Asean dan akan meminta EU mengambil kira pandangan negara ini, Indonesia, Thailand dan pengeluar minyak sawit lain.

"Pada Mei depan, kita akan bentangkan kepada Parlimen EU itu apakah pandangan kita, apa kita dah laksanakan," katanya.

Katanya, negara ini telah mematuhi piawaian dunia termasuk memperkenalkan undang-undang, peraturan dan sebagainya berkaitan buruh paksa dan pemain industri mengenepikan unsur buruh paksa.

"Kita sudah membangunkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) iaitu piawaian kita sendiri yang memastikan kelapa sawit kita ini mampan dari segi semua amalannya," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti